KRONOLOGI WABAK COVID-19 DI MALAYSIA ( JANUARI - FEBRUARI )

Kakak tak de hati nak ulas lebih-lebih pasal Coronavirus ( Covid-19 ) ni sebenarnya ; lebih kepada sakit hati dan sedih dengan tindakan beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab mengeruhkan lagi keadaan yang cuba dipulihkan semula oleh pihak kerajaan.


Status Terkini Covid-19 Di Malaysia

Tapi untuk tatapan korang, kakak akan bagi kronologi seringkas yang mungkin supaya tragedi tahun 2020 ini menjadi pengajaran dan ADA kisah-kisah untuk kita sampaikan kepada anak cucu – kelak.


APA ITU COVID-19



Virus ini dikesan bermula dari Wuhan, ibu negeri Hubei, China pada 31hb Disember 2019 selepas World Health Organization ( WHO ) dimaklumkan terdapat beberapa kes radang paru-paru di bandar tersebut. Menurut WHO, pihak berkuasa China telah mengesahkan coronavirus boleh tersebar dari manusia kepada manusia berikutan ia mempunyai komponen genetik yang paling serupa yang terdapat pada ular dan kelawar. WHO telah memberi nama rasmi iaitu Covid-19 berikutan dengan singkatan dari Corona Virus Disease 19.


Wuhan, China


Pegawai kesihatan China telah mengenalpasti Pasar Huanan Seafood yang terletak di pusat bandar Wuhan sebagai lokasi bermulanya penyebaran wabak ini kerana terdapat jualan yang membabitkan daging haiwan eksotik seperti musang, serigala, tikus, burung merak, landak, ular, buaya dan juga kelawar. Berdasarkan penyelidikan yang telah membabitkan 1,000 pesakit Covid-19 di China mendapati tempoh inkubasi virus ini boleh mencecah 24 hari dan bukannya 14 hari seperti yang dihebohkan sebelum ini.


KRONOLOGI COVID-19 DI MALAYSIA



23hb Januari :
  • Kementerian Kesihatan ( KMM ) melalui Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan ( CPRC ) telah menerima tiga kes ( dua di Sabah dan satu di Selangor ) yang disyaki telah dijangkiti Covid-19
  • KKM mengesahkan kes di Sabah adalah negatif

24hb Januasi :
  • KKM memaklumkan kontak rapat kepada kes pertama Covid-19 di Singapura berada di Johor Bahru dan telah dikuarantin

25hb Januari :
  • Menteri Kesihatan ( ketika itu ) Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, telah mengesahkan kes pertama Covid-19 membabitkan tiga warganegara China yang telah masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura pada 23hb Januari

27hb Januari :
  • KKM telah mengenal pasti 26 buah hospital di seluruh negara sebagai langkah kesiapsiagaan bagi mengendalikan kes-kes yang disyaki jangkitan Covid-19 yang memerlukan pemeriksaan dan rawatan lanjut.
  • Kerajaan telah menggantung sementara semua kemudahan imigresen kepada rakyat China dari bandar Wuhan dan wilayah Hubei serta sekitarnya – berkuatkuasa serta-merta

Hospital Covid-19

28hb Januari :
  • Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menitahkan semua masjid di seluruh negara mengadakan solat hajat
  • Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menubuhkan Jawatankuasa Pemulihan Pelancongan bagi memantau perkembangan semasa berhubung isu Covid-19

29hb Januari :
  • KKM mengesahkan pertambahan tiga kes positif Covid-19 dan menjadikan jumlah kumulatif kes positif = tujuh
  • Perdana Menteri ( ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Malaysia dalam persediaan membawa balik rakyat Malaysia dari Wuhan, China

30hb Januari :
  • KKM telah mengesahkan satu pertambahan kes positif Covid-19 dari kalangan kontak rapat ( kes kelapan ) yang menjadikan jumlah kes positif = lapan
  • Sebuah jawatankuasa khas bagi misi bantuan kemanusiaan membawa pulang rakyat Malaysia dari wilayah Hubei, China diaktifkan susulan penularan jangkitan Covid-19 di wilayah tersebut yang diselaraskan Agensi Pengurusan Bencana Negara ( NADMA ) bersama Kementerian Luar, Kementerian Kesihatan, Angkatan Tentera Malaysia ( ATM ) dan Majlis Keselamatan Negara ( MKN )

31hb Januari :
  • Pertubuhan Kesihatan Sedunia ( WHO ) telah mengisytiharkan Covid-19 sebagai darurat kesihatan dunia

01hb Februari :
  • Semua warga China dan warga asing yang telah mengunjungi China dalam tempoh 14 hari disekat dari memasuki Sarawak sehingga dimaklumkan kelak
  • Kedutaan Besar Malaysia di Beijing telah menghantar sepasukan peninjau ke Wuhan bagi menyelaras dan membantu proses membawa pulang 120 orang rakyat Malaysia di wilayah Hubei susulan penularan wabak Covid-19 di negara tersebut
  • Pesawat AirAsia AK8264 yang telah membawa pulang rakyat Malaysia dari Wuhan, China tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 pada jam 5.57 pagi

04hb Februari :
  • Malaysia telah membawa pulang seramai 107 orang yang terdiri daripada rakyat Malaysia dan pasangan serta anak-anak mereka yang terkandas di bandar Wuhan yang telah disekat pergerakan keluar dan masuk oleh kerajaan China susulan penularan wabak Covid-19 sejak 23hb Januari lepas
  • Seorang lelaki rakyat Malaysia berumur 41 tahun dari Selangor antara dua kes terbaharu yang dilaporkan positif Covid-19 dan satu lagi seorang lelaki warga China berumur 63 tahun yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ( KLIA ) pada 18hb Januari
  • Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan menstruktur semula kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 ( TM2020 ) dengan menyasarkan pasaran negara baharu susulan isu Covid-19
  • Pertambahan dua kes positif baharu = sepuluh

05hb Februari :
  • 74 orang dikenalpasti melalui pengesanan kontak kes pertama rakyat Malaysia yang telah dijangkiti Covid-19 ; daripada jumlah itu, 35 kontak rapat dikesan dan sampel diambil daripada mereka serta diletak dibawah Perintah Pengawasan dan Pemantauan
  • Dua daripada 107 individu yang tiba di tanah air menerusi Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana ( HADR ) disahkan positif = 12

06hb Februari :
  • Seorang wanita rakyat Malaysia menjadi kes pertama dan seorang wanita warga China dari Wuhan ; menjadikan dua individu terbaharu yang telah disahkan positif = 14 ( sepuluh orang warga China dan empat orang rakyat tempatan )

07hb Februari :
  • Membabitkan seorang pelancong wanita berumur 59 tahun dari Wuhan, China yang telah masuk ke Malaysia pada 21hb Januari telah menjadikan kes positif meningkat = 15

08hb Februari :
  • Seorang wanita dari Wuhan, China telah menjadi individu terbaharu positif kluster yang menjadikan angka keseluruhan jangkitan dalam negara berjumlah = 16

09hb Februari :
  • Seorang wanita tempatan berusia 65 tahun iaitu ibu mertua kepada kes rakyat Malaysia yang dilaporkan pada 04hb Februari - telah disahkan positif Covid-19 yang menjadikan angka keseluruhan jangkitan dalam negara = 17

10hb Februari :
  • Malaysia mencatat 18 kes positif termasuk tiga kes pulih sepenuhnya
  • Kes terbaharu telah membabitkan seorang lelaki rakyat MAlaysia berumur 31 tahun yang bekerja di Macau dan kembali ke Malaysia pada 01hb Februari

11hb Februari :
  • Kerajaan Malaysia dan Singapura telah bersetuju menubuhkan satu Jawatankuasa Kerja Bersama berikutan penularan jangkitan Covid-19

12hb Februari :
  • KKM telah menerima tambahan 26 pengimbas suhu badan yang ditempatkan di pintu masuk negara menjadikan jumlah keseluruhan 80 berbanding 54 sebelum ini
  • Dr. Dzulkefly berkata – ujian terhadap 550 kontak rapat dan mereka yang bergejala di 18 makmal awam di negara ini

13hb Februari :
  • Kes terbaharu membabitkan seorang warganegara China berusia 39 tahun, rakan kepada kes ke-14 dan anak kepada kes ke-16 yang menjadikan jumlah keseluruhan = 19

14hb Februari :
  • Tiga kes terbaharu membabitkan seorang lelaki dan seorang wanita warganegara China serta seorang wanita warga Amerika Syarikat yang merupakan penumpang kapal persiaran yang singgah di Kemboja pada 13hb Februari menjadikan jumlah keseluruhan = 22

27hb Februari :
  • Dr. Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri Interim telah mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 bagi menangani ekonomi daripada kesan penularan Covid-19

28hb Februari :
  • Pesakit ke-23 adalah wanita rakyat Malaysia yang kembali ke tanah air dari Jepun
  • Pesakit ke-24 seorang wanita Jepun berusia 41 tahun dan bekerja di Malaysia
  • Pesakit ke-25 merupakan seorang lelaki Itali yang berusia 54 tahun yang berkahwin dengan rakyat Malaysia
  • Kes baharu di negara ini bertambah lagi tiga yang menjadikan jumlah pesakit positif = 25
  • 22 kes telah sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital

YA !!
Setakat bulan Februari memang sangat membimbangkan tapi kakak berharap sekiranya korang membaca entri ni, kuatkuasakan kebersihan di rumah dan tingkatkan kesedaran mengenai penularan Covid-19 kepada ahli keluarga supaya mereka juga peka tentang kesan dan simptom.


Panjang plak entri ni, nanti kakak sambung ya !!
Hee~



LOVE ;
ATIE ADNAN
Share:

3 comments :

  1. Semoga Malaysia dan dunia kembali sihat dan bersih dari gejala Covid-19 ini.

    ReplyDelete
  2. semoga cepatlah ujian ini berlalu. Ya Allah lindungi kami sentiasa =')

    ReplyDelete
  3. Allah.. semoga Malaysia kembali pulih..

    ReplyDelete

Copyright © atiehilmi.com - Malaysian Lifestyle Blogger. Designed by OddThemes