Kampung Budaya Orang Silat, Kota Damansara - Matra Ruang Baharu Pesilat Muda ; Bila bercerita tentang seni mempertahankan diri, pastinya kakak menjunjung tinggi seni warisan orang Melayu yang masih utuh dimartabatkan sehingga hari ini bagi memastikan golongan muda mengambil ibrah dalam setiap perjuangan orang lama. Silat yang berasal dari Tanah Melayu tersebar luas dan kini dijadikan amalan beladiri di segenap pelosok dunia.
Selepas merdeka (1957), terdapat ratusan aliran Perguruan Silat di Malaysia. Pemerintah di Malaysia telah mengarahkan pengamal silat mengadakan persatuan silat dan didaftarkan atas tujuan membina, menyusun dan mengurus silat dengan lebih baik. Saranan tersebut disambut baik, maka beberapa kumpulan silat telah didaftarkan. Di sinilah bermulanya keberadaan pelbagai nama aliran penguruan silat kerana setiap pendaftar mestilah mempunyai nama kumpulan masing-masing.
SEJARAH SILAT DI MALAYSIA
Pada tahun 1978, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Malaysia ketika itu berusaha untuk mengadakan satu badan atau gabungan peringkat negara yang boleh membangunkan silat secara lebih berkesan, maka wujudlah Majlis Seni Silat Malaysia (1980). Kemudiannya, majlis tersebut ditukar kepada nama baru iaitu Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia atau PESAKA Malaysia, dan lulus pendaftarannya pada 1986. PESAKA Malaysia telah dianggotai oleh empat anggota bertaraf badan pendiri PESAKA Malaysia iaitu Seni Gayung Fatani Malaysia, Silat Seni Gayong Malaysia, Silat Lincah Malaysia dan Silat Cekak Malaysia. Lain-lain perguruan silat menjadi anggota PESAKA Negeri yang diwujudkan di setiap negeri di Malaysia. Hal ini bermakna seluruh silat telah bersatu di bawah PESAKA Malaysia
Bagi merancakkan lagi aktiviti kebudayaan dan kesenian disamping membuka peluang untuk mendekati golongan muda mendalami serta mencintai seni mempertahankan diri, Pertubuhan Silat Seni Jati Warisan telah menganjur Program Kampung Budaya Orang Silat dengan kerjasama Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) Selangor baru-baru ini di Kota Damansara.
KAMPUNG BUDAYA ORANG SILAT
Turut melibatkan empat pertubuhan yang bertapak di sekitar Seksyen 7, Kota Damansara - Program yang bertujuan membuka ruang untuk masyarakat setempat mengenali dengan lebih dekat tentang seni mempertahankan diri ini telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, YB Tuan Muhammad Izuan bin Ahmad Kasim.
Bagi memenuhi agenda program, para jemputan turut diajar teori dan praktikal Senaman Melayu yang biasa diamalkan oleh orang-orang lama untuk mengawal pernafasan, melegakan tekanan, melegakan otot dan sendi dibawah naungan Prof. Dr. Azlan Ghanie yang
pernah memperkenalkan Senaman Tua (ST) di majalah PENDEKAR dan majalah SEN! BELADIRI pada tahun 1997. Sehingga ke hari ini, PESENAM (Persatuan Pengamal Senaman Melayu Malaysia) adalah jentera yang dipertanggungjawabkan oleh Prof. Dr. Azlan Ghanie
untuk menggerakkan, membangunkan dan menyebarluaskan ilmu warisan Melayu ini kepada seluruh rakyat Malaysia dan antarabangsa.
Senaman Tua adalah sebahagian dari Silat Melayu Keris Lok 9 yang dikaji dan dibangunkan pengasasnya, Prof. Dr. Azlan Ghanie daripada warisan keluarganya. Kini, ia diajar kepada umum berasingan dari silat sebagai pemangkin kecergasan dan kesihatan.
Empat persatuan yang turut menghantar wakil untuk membuat demonstrasi seni dihadapan tetamu yang hadir ialah :
Turut menjadi perhatian semasa program berlangsung adalah pameran senjata tradisional seperti keris, parang, pedang, tekpi dan kerambit yang sangat sinonim digunakan sebagai alatan mempertahankan diri dalam seni persilatan. Para hadirin juga berpeluang belajar cara-cara melipat tanjak dan penggayaan busana tradisi pendekar Melayu dari Man Tanjak.
Setiap lipatan, potongan sudah pastinya menyampaikan maksud tertentu yang perlu dijaga agar tidak berlebihan dan masih mengekalkan ciri-ciri klasik pendekar Melayu asli.
Satu ilmu yang sangat mahal dan tidak ramai anak muda sedar betapa pentingnya mempelajari sekaligus mengangkat tinggi budaya seni Melayu.
Tak tumbuh tak melata,
Akar kayu selalu dicari,
Pencak silat budaya kita,
Amalkan selalu pertahankan diri.
Tanah Melayu tanah pusaka,
Megah berdiri disinggahsana,
Adat dijunjung nama dijaga,
Tidak Melayu hilang di dunia.
|
Nur Aiman diapit dua orang hebat dalam dunia Seni Persilatan Melayu iaitu Prof. Dr. Azlan Ghanie dan Mejar (B) Hasrul Roslan. |
Sebagai salah seorang ibu kepada seorang pesilat, ya. Kakak menyokong penuh usaha Kampung Budaya Orang Silat bagi memartabatkan budaya Melayu yang hampir pupus dek telan teknologi dan berharap usaha ini tidak disia-siakan. Mana tahu kalau program sebegini boleh dijadikan acara tahunan di Kota Damansara dengan sokongan penuh dari pihak berwajib tempatan, ADUN dan seiring membangunkan infrastruktur untuk mengaktifkan lagi aktiviti persilatan.
InsyaAllah.
Kita pun Silat Cekak Hanafi dulu! Keep up the good work Abang!
ReplyDelete