5 LOKASI SEJARAH DI NEGERI SELANGOR YANG MUNGKIN KORANG BELUM TEROKA.

Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-64, Tourism Selangor menampilkan destinasi di Negeri Selangor yang kaya dengan 1001 kisah sejarah seperti senarai di bawah yang mungkin boleh korang teroka bagi menyemarakkan semangat patriotisme dan cintai sejarah tempatan.


Pekan Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor


Pekan Kuala Kubu Bharu telah ditadbir oleh Residen British yang terawal seperti Presiden Frank Athelstane Swettenham. Di sini juga telah didirikan sebuah kubu pertahanan Raja Mahadi dalam Perang Saudara yang terjadi pada tahun 1867-1874. Pekan ini juga pernah ditimpa bencana bah yang teruk yang mengikut legenda adalah disebabkan tindakan seorang Pegawai Inggeris, Cecil Ranking yang telah membunuh buaya putih yang dianggap sebagai penjaga penduduk Kuala Kubu yang lama. Terdapat beberapa destinasi di sini, antaranya Galeri Sejarah Kuala Kubu Bharu di mana anda boleh mendalami kisah sejarah Pekan ini.


Pekan Kuala Kubu Baru

Bangunan-bangunan lama yang dibina dari zaman pemerintahan British seperti Balai Polis, Pejabat Pos dan juga Menara Jam juga masih berdiri teguh di sini. Pihak Berkuasa Tempatan sedang dalam usaha untuk memetakan Pekan Kuala Kubu Bharu sebagai Tapak Warisan Dunia oleh The United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) untuk lebih dikenali di persada antarabangsa.


Bandar Diraja Klang


Klang, yang merupakan bandar yang tertua di Malaysia juga mempunyai nilai sejarah tersendiri. Klang telah dipilih menjadi ibu kota Negeri Selangor selepas kemangkatan Sultan Muhammad sebelum dipindahkan sekali lagi ke Kuala Lumpur. Selain daripada menjadi Bandar Diraja yang menempatkan Istana Sultan Selangor, Klang juga adalah bandar yang dulu pernah menjadi kawasan pertempuran buat Perang Saudara yang berlaku antara Raja Mahadi dan Raja Sulaiman.


What To Eat Klang

Bandar ini juga mempunyai banyak bangunan yang dibina pada zaman British antaranya Chennai Silk Palace Klang, Church of Our Lady Lordes dan Gedung Raja Abdullah. Bangunan-bangunan ini kemudian telah dijadikan sebagai lokasi singgahan dalam Program Royal Klang Town Heritage Walk Tour untuk para pengunjung lawati kawasan bersejarah di sekitar bandar ini. Terdapat tempat ikonik lain yang boleh dilawati di Bandar Diraja Klang seperti Jambatan Kota yang dibina pada tahun 1957 dan Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz yang menempatkan koleksi peribadi Kesultanan Melayu Selangor.


Bandar Kajang


Kajang adalah sebuah mukim yang terdapat di Daerah Hulu Langat, Negeri Selangor. Bandar Kajang yang telah berusia lebih 200 tahun ini dahulunya merupakan kawasan melombong bijih timah yang dimulakan oleh masyarakat Mendaling, Rawa, Minangkabau dan sedikit orang Kampar dari Sumatera yang telah berhijrah ke Daerah ini. Kajang juga mempunyai bangunan-bangunan tinggalan dari zaman lalu seperti Kuil Shen Sze She Yar yang sudah berusia lebih 120 tahun. Bangunan-bangunan bersejarah di Kajang juga termasuk Pejabat Pos Lama, Masjid Jamek Kajang dan juga kedai biskut yang rata-rata bangunan ini semua dibina lebih 100 tahun yang lalu. Kajang juga menawarkan Program Jejak Warisan yang tersendiri khusus untuk peminat sejarah dan pengunjung untuk menerokai peristiwa dan tinggalan sejarah di Kajang.


Kajang

Selain itu, di sini juga terdapat Bangunan Tan Boon Chia dimana ia merupakan sebuah bangunan yang dahulunya merupakan kediaman buat pemilik lombong sebelum menjadi Ibu Pejabat bagi tentera Jepun. Kajang juga mempunyai Pusat Warisan Kajang yang menempatkan 300 koleksi artifak, alatan dan juga dokumen sejarah khususnya yang berkaitan dengan Bandar Kajang.


Pekan Lama Kuala Selangor


Pekan Lama Kuala Selangor mula diduduki oleh orang laut yang menyara hidup dengan menangkap ikan pada kurun ke-17 Masihi. Penduduk awal yang kebanyakannya terdiri dari kaum Bugis ini juga dikatakan diketuai oleh seorang wanita Bugis yang kaya dengan sifat kasih sayang. Terdapat teluk yang dinamakan Teluk Penyamun kerana ianya merupakan lokasi yang sering menjadi tempat kegiatan menyamun. Jeram, sebuah mukim di Kuala Selangor juga dikatakan menjadi tempat Sultan Mansur Syah Melaka yang memerintah dari 1459 hingga 1477 menabalkan Putera Baginda; Paduka Seri Cina. Untuk merungkai sejarah Pekan Lama Kuala Selangor, anda boleh lawati Muzium Sejarah Daerah Kuala Selangor untuk mendalami lebih lanjut kisah sejarah Pekan ini.


Sejarah Pekan Lama Kuala Selangor

Bukit Malawati juga antara lokasi yang boleh dikunjungi untuk menjejaki semula tinggalan sejarah seperti Batu Hampar, Perigi Beracun dan Meriam Penggawa yang setiap satunya mempunyai kisah unik yang tersendiri.


Pekan Jugra


Jugra yang dahulu dikenali sebagai Bandar Temasya mula dibuka pada abad ke-18 oleh orang Bugis yang datang dari Johor untuk kegiatan berdagang dengan Negeri Melaka. Jugra juga pernah menjadi kawasan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor selepas perpindahan dari Kuala Selangor pada tahun 1859 iaitu di zaman pemerintahan Sultan Selangor ke-4, Sultan Abdul Samad. Jugra terletak di lokasi yang strategik dan selamat sebagai kawasan penempatan, perniagaan dan perdagangan. Jugra juga telah menjadi tumpuan pedagang untuk berlabuh dan mengangkut hasil bijih timah, Dikatakan juga Hang Tuah pernah menjejakkan kaki ke sini untuk tujuan menyabung ayam di Bukit Jugra.


Jugra

Jugra juga mempunyai tinggalan sejarah dari zaman kesultanan Sultan Abdul Samad seperti Istana Long Puteri dan Istana Jugra yang pernah menjadi tempat bersemayam Sultan Abdul Samad daripada tahun 1859 hingga 1898. Muzium Insitu Jugra yang dahulu merupakan sebuah Balai Polis, mahkamah dan juga lokap, adalah tempat yang terbaik untuk selami sejarah Jugra dengan lebih lanjut. Jangan lupa untuk singgah ke Istana Bandar Jugra dan Masjid Alaeddin semasa anda berkunjung ke Pekan ini.


Setiap destinasi Negeri Selangor mempunyai pelbagai peristiwa sejarah yang mampu memberi pengajaran buat masyarakat masa kini. Kisah sejarah ini juga mampu menyemarakkan semangat patriotisme dan rasa sayang akan tanah air. Namun, di mana sahaja korang berada, terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara seperti memakai topeng muka, menggunakan pembersih tangan dan mempraktikkan penjarakan sosial.



Tak salah rasanya teroka tempat bersejarah tempatan sebelum ke luar negara. Kan ?
Next nak negeri mana plak ? Hee~



2 comments:

  1. Paling teringin nak sampai Kuala Kubu Baru sekali lagi. Air terjun dia besttt dan Sekinchan
    Selamat menyambut hari kemerdekaan buat kali ke 64. Merdeka! Merdeka! Merdeka!

    ReplyDelete

Powered by Blogger.